Showing posts with label tempatan. Show all posts
Showing posts with label tempatan. Show all posts

Saturday, October 22, 2016

Anda telah habiskan 33 jam sehari untuk TV, Internet

Satu kajian terhadap golongan belia di Malaysia menunjukkan bahawa golongan belia menghabiskan masa mereka selama kira-kira 32.6 jam setiap hari melakukan aktiviti yang berkaitan media.
Ia seperti menonton TV, melayari Internet, mendengar radio dan membaca majalah. Macam mana boleh jadi 32.6 jam? Tidakkah kita hanya mempunyai 24 jam dalam satu hari?
Teknologi membolehkan kita untuk membuat pelbagai tugasan pada satu masa yang sama. Ketika kita sedang bercakap di telefon, kita juga sedang menonton televisyen, memeriksa akaun Facebook atau mendengar muzik pada masa yang sama.
Walau bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa daripada 32.6 jam tersebut, 26.8 jam telah digunakan untuk melakukan aktiviti berbentuk sedentari atau aktiviti secara bersendirian, tanpa adanya interaksi dengan keluarga dan rakan-rakan.
Kanak-kanak pula telah menghabiskan kira-kira 5.3 jam di sekolah, 3.3 jam di Internet, 2.5 jam untuk menonton televisyen, 1.3 jam dengan telefon dan 6.8 jam untuk tidur. Tidak ada banyak masa yang tersisa untuk aktiviti bersama ahli keluarga.
Masalah ini bukan sahaja berlaku kepada kanak-kanak, tetapi juga kepada orang dewasa. Secara purata rakyat Malaysia melayari Internet selama lebih kurang 20 jam setiap minggu.
Lebih daripada separuh, iaitu 53 peratus pengguna digital di Malaysia melayari Internet setiap hari, manakala 35 peratus melayari Internet beberapa kali dalam seminggu. Selain itu, sebanyak 10.6 jam seminggu telah digunakan untuk menonton televisyen.

Telefon pintar dan komputer berbentuk tablet semakin diminati di Malaysia.
Dalam satu kajian terhadap isi rumah pengguna digital, pemilikan telefon pintar dijangkakan menghampiri dua kali ganda dalam tempoh 12 bulan akan datang, iaitu mencapai 89 peratus (meningkat daripada 48 peratus pada masa ini), kepada semua pengguna digital yang berumur 15 tahun dan ke atas.
Manakala pengguna tablet pula meningkat sebanyak 75 peratus (18 peratus pada masa ini). Ini bermakna rakyat Malaysia akan menghabiskan lebih banyak masa mereka dengan Internet.
Permintaan yang tinggi dalam kalangan pengguna terhadap media dan peranti berkemampuan Internet juga telah meningkatkan peluang untuk menggunakan media secara serentak.
Lebih daripada dua pertiga (71 peratus) daripada responden mengatakan bahawa mereka menonton TV dan melayari Internet pada masa yang sama.
Manakala, komputer tetap merupakan platform utama untuk kegunaan yang serentak, 11 peratus pengguna digital mengatakan mereka menonton TV dan mengakses Internet dengan telefon bimbit mereka dalam satu masa.
Dengan jumlah masa yang banyak digunakan untuk media berskrin, maka ia juga menyebabkan masa yang berkualiti untuk bersama-sama keluarga dan rakan-rakan semakin berkurang.
Kita sendiri boleh perhatikan tentang golongan muda yang khusyuk dengan telefon pintar mereka, walaupun ketika waktu makan malam bersama-sama keluarga mereka. Keadaan semakin buruk sekiranya mereka menggunakan Internet di dalam bilik tidur, yang menyebabkan perhubungan sesama keluarga semakin renggang.
Satu kajian antarabangsa pula mendapati rakyat Malaysia paling ramai mempunyai rakan Facebook, iaitu purata 233 orang dalam setiap akaun. Rakyat Malaysia juga telah menghabiskan masa selama 9 jam seminggu di Facebook, yang merupakan antara yang tertinggi berbanding dengan negara-negara lain.
Pada masa ini terdapat lebih daripada 10 juta pengguna Facebook di Malaysia. Statistik turut menunjukkan bahawa kita mungkin mempunyai lebih banyak rakan 'digital' berbanding dengan rakan-rakan 'sebenar'.
Teknologi komunikasi telah menukar cara seseorang berhubung dengan rakan atau ahli keluarga mereka daripada bersemuka kepada penggunaan teks di skrin.
Masa yang banyak dihabiskan di skrin telah menyebabkan rakyat Malaysia semakin kurang melakukan aktiviti yang bersifat aktif. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006, menunjukkan 43.7 peratus rakyat Malaysia tidak menjalani hidup secara aktif.
Kajian yang sama menunjukkan 45.6 peratus orang dewasa di kawasan bandar kurang aktif berbanding dengan orang dewasa di kawasan luar bandar. Gaya hidup yang tidak aktif merupakan salah satu penyebab kepada penyakit obesiti.
Terdapat kira-kira 43 peratus orang dewasa, 20 peratus remaja dan 26 peratus pelajar sekolah rendah didapati mengalami berat badan yang berlebihan atau obes. Justeru, marilah sama-sama kita menutup peralatan berskrin dan mulai melakukan aktiviti sukan dan rekreasi yang boleh mengeluarkan peluh, berbanding dengan menghabiskan masa selama 5.6 jam seminggu bermain permainan dalam talian.

Monday, June 22, 2015

Bukit Putus simpan 1001 misteri



BUKIT Putus, bukan setakat penduduk Negeri Sembilan kenal dengan nama gah ini, malah masyarakat luar juga mengetahui tentangnya. Seperti ular kena palu, begitulah rupa paras jalan yang satu ketika dahulu menjadi laluan utama dari Seremban ke Kuala Pilah.

Tapi apabila jalan baharu sejauh 6.9 kilometer dibuka secara rasmi pada 25 November 2009, jalan berkelok 32 itu, dari hari ke hari semakin ditinggalkan sepi. Namun Bukit Putus ada menyimpan 1001 rahsia. Dari cerita mistik hinggalah perancangan untuk menceriakan kembali laluan itu.

Tidak menepati kehendak! Itu respons editor selepas gambar dikirim kepadanya. Sekali lagi saya perlu ziarah kawasan itu. Rasanya belum sampai pun suku perjalanan, dari jauh kelihatan sekumpulan anjing dan monyet di tengah-tengah jalan.

Ini peluang baik! Tapi apabila kereta semakin menghampir, kumpulan binatang itu cabut lari ke dalam hutan di kiri dan kanan.

Hati terasa rugi kerana tidak dapat merakam gambar 'mereka'. Saya matikan enjin lalu keluar dari kereta dan kemudian menjengah di tepi lembah yang penuh dengan pokok-pokok tinggi.

Mana tau kalau-kalau kumpulan monyet tadi ada di situ, ada juga rezeki untuk merakam aksinya sedang bergayutan. Hampa. Hanya suara nyaring sang monyet sahut menyahut dari kejauhan yang kedengaran. Anjing-anjing tadi pula entah hilang ke mana.

Mata meliar memerhati kiri dan kanan. Tiba-tiba datang deru angin agak kuat dari arah belakang. Riuh suara monyet tidak kedengaran lagi. Suasana jadi sunyi sepi. Dan sepantas itu juga jantung berdegup laju. Bulu roma menegak, saya terasa seram...

Bukit Putus saya tinggalkan. Maaf puan editor. Saya gagal untuk merakam gambar dikehendaki kerana seram yang saya rasa mengatasi segalanya. Ya, rasa seram itu benar-benar muncul waktu kali kedua saya ke Bukit Putus untuk tugasan laporan khas kali ini.



Legenda raksasa bergaduh

Sehingga hari ini bagaimana wujudnya nama Bukit Putus masih tidak diketahui dengan jelas. Hanya satu saja kisah legenda yang pernah sampai ke telinga pada zaman kanak-kanak dahulu. Nenek pernah bercerita kononnya dulu ada kejadian raksasa bergaduh hingga berparang.

Dalam pergaduhan itu, salah satu raksasa tersebut yang mahu menetak lawannya tertetak bukit tersebut sehingga terputus-putus dan kerana itu ia dinamakan Bukit Putus.

Laluan berusia lebih 40 tahun itu tidaklah terlalu panjang. Hanya lapan kilometer sahaja. Empat kilometer ke puncak dan empat kilometer lagi ke kaki bukit.

Laluan berliku dan berbukit ini kurang disukai pemandu. Selekohnya tajam. Jalannya sempit. Mengerikan bagi pemandu baharu yang baru pertama kali melaluinya.

Mengenang Bukit Putus juga boleh menjadikan bulu roma meremang kerana banyak cerita mistik tersebar dari mulut ke mulut.

Antaranya kisah seorang lelaki mengilai tanpa kepala di satu pokok besar dekat sebatang selekoh. Ada juga yang nampak sekumpulan manusia sedang berjalan mengusung keranda membawa obor dan ada juga yang melihat ‘pocong’ berdiri di kaki bukit.

Cerita bantal peluk bergolek mengejar kenderaan, bebola api berterbangan di sekitar jalan, gerai misteri yang berniaga di tengah malam sehinggalah cerita terlihat sepasang manusia lelaki dan wanita melapah daging monyet di selekoh yang terdapat juraian air bukit.


Kereta tiba-tiba jadi berat

"Waktu itu tahun 2002, jam 2.30 pagi dari arah Seremban. Masa itu, jalan lengang langsung tiada kereta atau lori. Saya pun tidak fikir apa-apa, sehinggalah berhampiran Kem Pengakap sebelah kiri, tiba-tiba kenderaan saya jadi berat. Memang nak naik ke jalan itu agak payah," kata Ismail Shah Abd Samad.

Katanya, dia hanya terfikir keretanya rosak kerana kenderaan itu sering meragam.

"Saya pun lihat cermin pandang belakang, untuk lihat kalau ada kenderaan lain untuk minta bantuan. Tetapi apa yang saya nampak, objek berwarna putih dan samar-samar di bonet belakang kereta. Automatik menggigil satu badan.

"Saya teruskan perjalanan, baca ayat Kursi tetapi secara tiba-tiba bau wangi kapur barus pula datang. Memang sangat seram waktu tu. Bila tiba puncak Bukit Putus, terdengar bunyi angin kuat dan tiba-tiba juga kereta saya menjadi ringan.

"Itulah peristiwa paling saya tidak boleh lupakan sehingga kini. Saya pernah berbual dengan pemandu lori di hentian rehat Ulu Bendul dan mereka beritahu, jam 2 pagi hingga ke 4 pagi, jalan itu akan diganggu Pontianak."


Perempuan bersama tiga anak

“Ini cerita tahun 90-an dulu. Masa tu, saya bertugas dalam JPAM. Saya berulang alik dari Felda Kepis ke Seremban. Kejadian itu berlaku selepas selesai habis bertugas. Saya gerak dari JPAM jam 12.30 tengah malam dan tiba laluan kedua selekoh jam 1 pagi dari Seremban.

"Tempatnya di kawasan kebun durian dekat selekoh paling tajam di jalan lama Bukit Putus. Masa itu naik kereta. Sebelum ini, kawan ada bagi tahu laluan itu agak scary tapi saya tidak percaya.

"Hinggalah, pada malam itu, saya ternampak seorang perempuan berjalan di tengah jalan bersama tiga anaknya dan seorang didukung.

Perasaan ketika itu, hanya ALLAH SWT yang tahu. Takkanlah, jam 1 pagi ada orang di kawasan itu dan di situ tiada rumah. Memang seram sejuk waktu itu. Saya teruskan perjalanan seperti biasa tanpa menegur perempuan itu." kata Shahrudin Abd Halim.


Orang usung keranda

"Sesiapa yang 'bernasib baik' sahaja akan diganggu oleh makhluk halus. Saya dahulu berulang alik dari Seremban ke Kuala Pilah kerana bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan Raya. Pernah diganggu lampu kereta tiba-tiba terpadam dan radio turut senyap. Waktu itu jam 1 pagi.

"Bila dikacau, saya teruskan perjalanan macam biasa. Dan ternampak pula sekumpulan orang mengusung keranda. Saya lega bila lihat ada orang ramai.

"Perasaan takut mula hilang. Namun bila tiba puncak bukit, tiba-tiba saya terfikir, di selekoh ketiga itu mana ada rumah orang dan baharulah saya tersedar, mungkin apa yang saya lihat bukan orang sebenar.” kata Mashitah Idris.


Jalan sunyi kenderaan berkurangan

Biarpun bilangan kenderaan menggunakan jalan Bukit Putus semakin berkurangan, malah boleh dikatakan sudah tiada, kisah mistik dan misteri itu masih terus disebarkan.

Bagaimanapun, selepas jalan baharu yang lebih pendek dan lurus dibuka dan kenderaan yang melalui jalan Bukit Putus semakin berkurangan, ada ura-ura untuk menjadikan laluan ini sebagai tempat riadah dan rekreasi.

Namun sehingga hari ini, tidak kelihatan apa-apa usaha dilakukan. Bukit Putus sudah jadi laluan sunyi. Bukan setakat manusia dan kenderaan, malah monyet dan kera yang dahulunya kelihatan banyak di tepi-tepi jalan setiap kali melalui laluan itu, kini sudah tiada.

Kalau dulu ‘mereka’ amat suka berpelesiran di tepi jalan, kini sudah tidak nampak bayang. Mungkin dulu ada saja pemandu yang melempar makanan untuk mereka menjadikan mereka gemar keluar di tepi jalan menunjukkan muka.

Tapi sekarang, tak siapa yang datang melihat lagi. Khabarnya, polis juga tidak menggalakkan pemandu melalui laluan ini terutama waktu malam kerana ada kes samun berlaku di sini.


Berpotensi jadi tarikan pelancong

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani berharap kerajaan negeri dapat membuat kajian terperinci terhadap laluan lama Bukit Putus, untuk dimanfaatkan sebagai tarikan pelancong.

Secara peribadi katanya, lokasi tersebut agak menarik berikutan keadaannya yang dilitupi kehijauan alam semula jadi di kiri dan kanan jalan, ditambah kewujudan beberapa dusun buah-buahan dan sebuah restoran di situ.

“Pada hemat saya, laluan itu sesuai dijadikan sebagai kawasan agro pelancongan atau sukan lasak misalnya maraton, longboard, berbasikal, rock climbing, meredah hutan, mendaki bukit dan pelbagai lagi.

“Ditambah laluan berliku dan mencabar, pastinya mampu menggamit penyertaan atlet antarabangsa. Memang rugi kalau dibiarkan sebab lokasi itu mudah diakses menggunakan laluan baharu, selain terletak berdekatan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas),” katanya.

Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun nyata sependapat dengan Mohamad Taufek, cuma berharap segelintir aspek dapat dipertingkatkan lagi jika cadangan sedemikian menjadi realiti.

“Selain menaiktaraf kualiti jalan, beberapa kemudahan asas perlu dibina untuk orang ramai. Penguatkuasaan juga mesti proaktif bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin kelak.

“Bila ada pengunjung, secara tidak langsung boleh memberi peluang kepada penduduk sekitar untuk menambah pendapatan dengan berniaga secara kecil-kecilan di sepanjang laluan penuh bersejarah itu,” katanya.

Pendapatan isi rumah meningkat kepada RM4,585

KUALA LUMPUR - Pendapatan isi rumah bulanan penengah Malaysia pada 2014 meningkat 11.7 peratus setahun kepada RM4,585 berbanding RM3,626 pada 2012.
   
Jabatan Perangkaan berkata demikian dalam Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2014, yang mengumpulkan data berkaitan ciri-ciri isi rumah Malaysia.
   
"Penyiasatan ini telah dilaksanakan melalui kaedah temu ramah bersemuka dalam tempoh 12 bulan sepanjang 2014, merangkumi strata bandar dan luar bandar.


   
"Secara umumnya, terdapat empat punca pendapatan yang boleh diterima (terakru) oleh isi rumah iaitu pendapatan daripada pekerjaan bergaji, bekerja sendiri, pendapatan daripada harta dan pelaburan serta pindahan semasa diterima," katanya dalam satu kenyataan.
   
Pendapatan isi rumah bulanan purata Malaysia meningkat 10.3 peratus setahun kepada RM6,141 pada 2014 daripada RM5,000 pada 2012, katanya.

Jabatan Perangkaan berkata, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan pendapatan penengah tertinggi iaitu RM7,620 diikuti oleh Putrajaya (RM7,512), Selangor (RM6,214), Wilayah Persekutuan Labuan (RM5,684), Johor (RM5,197), Melaka (RM5,029) dan Pulau Pinang (RM4,702).
   
Negeri-negeri lain merekodkan pendapatan penengah di bawah paras nasional  iaitu RM4,585.
   
Menurut jabatan itu lagi, Kuala Lumpur mencatatkan pendapatan isi rumah bulanan purata tertinggi sebanyak RM10,629, diikuti dengan Putrajaya (RM10,401), Selangor (RM8,252), Labuan (RM7,591) dan Johor (RM6,207).
   
"Negeri-negeri lain merekodkan pendapatan purata di bawah paras nasional (RM6,141)," katanya.
   
Pekali Gini turun sebanyak tiga mata peratus daripada 0.431 pada 2012 kepada 0.401 pada 2014, katanya.
   
"Ini menunjukkan pengagihan pendapatan isi rumah di Malaysia bertambah baik," katanya. - Bernama

Thursday, December 4, 2014

Cerita Eqa Helena Si Mangsa Rompak, FItnah dan Dunia [ From A to Z ]

Berita mengenai wanita di toreh muka baru-baru ini menjadi amat viral di Facebook . Semua bercerita tentang sikap kemanusiaan . Ada pihak yang menyalahkan wanita tersebut, rompakan atau dendam ?  Dan tak kurang juga dengan kisah cinta romantik tunang yang setia .

Jadi kami cuba untuk mencari segala berita yang ada agar kita lebih faham ,

Gambar di bawah adalah kesan solekan semasa mangsa belajar di Giat Mara. Beberapa tahun yang lalu, Nur Shafiqa pernah belajar di Pusat Giat Mara dan beliau telah mengikuti kelas solekan. Sehinggalah satu ketika, beliau teringin mencuba solekan ngeri yang menyerupai muka berparut selepas dikelar dengan objek tajam di bahagian muka dan dia sempat merakam gambar solekan ngeri itu di laman Instagramnya #prayforeqa.



Nampak macam kena asid daripada kena toreh .




Berita, Fitnah dan Cinta

Berita

Memang kita tidak boleh lari daripada gossip dan penambah rasa dalam melalui liku dan ranjau berduri kehidupan .

Berita yang kita dengar berlaku pada mangsa adalah mangsa telah di samun dan in gambar keadaan sedih mangsa 


Gambar Ngeri


“Kejam dooh nih (terlalu kejam).” Itu luahan bapa mangsa samun, Lah Hassan terhadap tindakan ganas perompak yang menoreh muka anaknya, Nur Shafiqa dalam kejadian di Wakaf Berangan, Sri Aman, Pasir Puteh, Ahad lalu.
SM belum dapat pastikan, namun menerusi fans page Friends of BN- Barisan Nasional, beberapa keping gambar Nur Syafiqa dimuat-naik. Kelihatan Nur Syafiqa sudah keluar hospital dan berada di rumahnya.
Menerusi kapsyen fans page tersebut, dikatakan Mas Ermieyati Samsudin sudah melawat Syafiqa.
Ini merupakan gambar Nur Syafiqa selepas kejadian itu. Sama-sama kita doakan semoga Nur Syafiqa pulih seperti sediakala. Ameen’
Dan kini mangsa berada dalam keadaan stabil dan kemungkinan mengalami trauma .


Sedara mara pakat turun ziarah. (tak sure)





Fitnah

Jadi di sebalik kejadian ini ada pulak pihak yang nak kasi panas cerita dengan Headline "Punca Sebenar Mangsa Kena Toreh" . Kemudian berpakat-pakat la percaya dan komen pedas di berikan . 



Siapalah kita untuk menentukan sikap Eqa Helena ni sebab kita bukan sedara pown ! . Dan mungkin Eqram Slayerz tu adalah "keyboard warrior" yang datang dari mana dan kasi panas cerita . Well Eqram Slayerz, tidak kisah cerita kikis lu betul atau tidak tetapi kalau betul ? Lu dah bukak AIB dan kalau salah ? LU dah fitnah orang .


Kisah Cinta

Mungkin bahagian ni orang perempuan paling suka .



KOTA BHARU – Mohd. Azijja Zafran Zahrani, tunang kepada Nur Syafiqa Lah yang ditoreh di muka berjanji akan setia bersama insan kesayangannya itu walaupun berkemungkinan gadis tersebut mempunyai parut kekal pada wajahnya.
Malah Mohd. Azijja, 24, juga tekad akan sentiasa bersama gadis yang dicintainya itu dalam menempuh apa jua keadaan sebelum melangsungkan perkahwinan pada Mac depan.
Pemuda yang mengikat pertunangan dengan Nur Syafiqa, 22, pada April lalu berkata, pada masa ini, dia memberikan fokus untuk memulihkan kembali semangat tunangnya itu.
‘‘Walau apa pun terjadi, saya akan terus bersama Nur Syafiqa dan kami akan meneruskan majlis perkahwinan seperti yang dirancang sebelum ini,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Cerita Penuh di sini :




Friday, November 14, 2014

Denda Para Peniaga Yang Menipu

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Para peniaga yang melakukan penipuan melalui perniagaan dalam talian boleh didenda mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan denda sehingga RM200,000 dan hukuman penjara maksimum lima tahun.

Ahmad Bashah Md. Hanipah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Ke­penggunaan, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, akta tersebut yang dikuatkuasakan pada Julai tahun lalu adalah bagi melindungi pengguna yang terdedah kepada risiko penipuan internet.


Katanya, setiap peniaga juga perlu mendapatkan lesen perniagaan dan memaparkan maklumat tersebut di dalam laman sesawang sebagai panduan kepada pengguna yang mahu menggunakan perkhidmatan ditawarkan.


“Bagi peniaga individu, kesalahan pertama boleh menyebabkan mereka didenda RM50,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali manakala kesalahan kedua memperuntukkan denda RM100,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.


“Sekiranya penipuan dilakukan oleh perbadanan atau pertubuhan, hukuman denda bagi kesalahan pertama adalah tidak melebihi RM100,000 manakala kesalahan seterusnya boleh didenda maksimum RM200,000,” katanya dalam jawapan lisan kepada soalan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Se­langor) di Dewan Rakyat hari ini.


Dalam soalannya, Irmohizam berkata, banyak aduan telah dikemukakan oleh generasi muda akibat tertipu dengan perniagaan internet justeru kaedah penyelesaian melalui penguatkuasaan perlu dijalankan.


Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, lapan syarat ditetapkan untuk perniagaan internet antaranya peniaga perlu memaparkan nama individu atau syarikat dan lesen di dalam laman sesawang syarikat berkenaan.


“Syarat-syarat lain adalah peniaga perlu paparkan ciri-ciri barang yang hendak dijual, harga serta kos penghantaran, kaedah pembayaran, terma dan syarat urusniaga serta anggaran masa penghantaran,” jelas beliau.


Tambahnya, bermula Januari hingga November tahun ini, pi­hak­nya telah menerima sebanyak 1,047 aduan yang dibuat melalui laman sesawang justeru siasatan dan beberapa tindakan susulan telah diambil untuk menyelesaikannya.
Ahmad Bashah Md. Hanipah

Monday, May 5, 2014

Hilangnya Seorang Lagenda .

Bintang lagenda yang cukup terkenal menerusi filem Bujang Lapok, Datuk Aziz Sattar,89, dilaporkan telah meninggal dunia di Pusat Perubatan KPJ, Kajang kira-kira jam 2 pagi pada Selasa.

Berita tentang kematian Allahyarham yang merupakan sabahat baik kepada Tan Sri P.Ramlee pada zaman kegemilangan dunia perfileman di Jalan Ampas pada era 60-an, telah disahkan oleh cucunya Abu Ibaidah A.IShak menerusi akaun twitter.

Aziz Sattar atau nama sebenarnya Abdol Azez Satta yang lebih mesra dipanggil Pak Ajis pada Ahad lalu telah dimasukkan ke hospital Kajang selepas mengadu sakit dada sebelum rebah akibat serangan jantung ketika berada di rumah salah seorang anaknya.

Allahyarham bagaimanapun dilaporkan stabil dan ditempatkan di Unit Rawatan Korinari (CCU).

Sementara itu, anak perempuan Allahyarham Sandakiah Aziz mengesahkan jenazah Allahyarham bapanya akan dibawa ke kediamannya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Cheras Perdana sebelum Zuhur.

Pak Ajis yang sebelum ini sering membintangi filem-filem komedi bersama Allahyarham Tan Sri P Ramlee turut diingati melalui penampilannya bersama  S Shamsuddin melengkapkan trio yang tak mungkin ada gantinya iaitu siri Bujang Lapok.

Bintang lagenda ini yang dilahirkan pada 8 Ogos 1925 di Pekalongan, Jawa Tengah, Indonesia ini juga pernah menyertai kumpulan pancaragam Pancasitara  yang dianggotai oleh  P.Ramlee, Normadiah, Aziz Jaafar, Ahmad C dan Kassim Masdor  pada awal tahun 1950an.


Ajis, Sudin dan Ramlee - Bujang Lapok yang masih 'hidup' di hati dan ingatan...

Allahyarham juga pernah mengarah beberapa buah filem seperti Keluarga Si Comat (1975), Si Badol (1979), Prebet Lapok (1979), Penyamun Tarbus (1980), Da Di Du (1981), Setinggan (1982) dan Darah Satria (1993).

Pada tahun 2007,  Allahyarham menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong,  Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk.

Allahyarham Pak Ajis pernah empat kali berkahwin, termasuk bersama seniwati Dayang Sofia yang merupakan isteri keempatnya (bercerai) dan hasil daripada empat perkahwinannya itu beliau telah
dikurniakan tujuh orang anak.

Allahyarham juga telah berkahwin buat kali kelima pada 16 Disember 2006 dengan Hashimah Delan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam.